Skip to content

HARAPAN ATAS PASIR

Sejak tertubuhnya Malaysia, Sabah seperti Sarawak menjadi sendi kepada keutuhan rakyat Melayu dan Bumiputra di negara ini. Namun keutuhan itu saja tidak cukup untuk menjamin perpaduan, keamanan, kestabilan serta kesejahteraan umat pelbagai kaum yang menduduki bumi tercinta ini. Selama 55 tahun rakyat dan negara ini hidup dalam aman dan sejahtera. Mencatat kejayaan demi kejayaan dari setahun ke setahun. Tapi semua ini tidak tercapai tanpa pengorbanan dan kebijaksanaan para pemimpin terdahulu serta yang kemudian dan sokongan rakyat padu kepada mereka. Kita berhadapan dengan tentangan Komunis bersenjata, konfrantasi dan rancangan serangan dan penaklukan Sabah melalui Pulau Tambisan secara serversif ciptaan dan tajaan Ferdinand Marcos lewat tahun 60an. Kalau bukan kerana pembongkaran rahsia ‘ The Corregidor Affairs ‘ oleh mendiang Senator Benigno Aquino ( suami mantan Presiden Filipina, Cory Aquino dan ayah kepada Presiden Filipina sekarang, Benigno Aquino ) tidak terbayangkan bagaimana keadaan Sabah dan Malaysia hari ini. Kepentingan Sabah bagi segilintir pihak di negara itu sentiasa subur dalam sanubari mereka. Hatta pada akhir-akhir tahun 1800, pejuang ulung kebebasan Filipina ketika itu, mendiang Jose Rijal, pernah mendapat kebenaran Governor General British di Hong Kong untuk membawa 100 ribu pengikutnya menetap di Kota Marudu.Beliau berbuat demikian kerana kezaliman yang dialaminya oleh penjajah Sepanyol. Hari ini kita tidak lebih selamat berbanding masa lalu. Dengan Amerika Syarikat berlagak seperti polis dunia, ekonominya yang masih lemah dan Republik Rakyat China yang telah pun mengambil alih daripada Jepun sebagai kuasa ekonomi kedua terbesar dunia memerlukan kita mesti lebih berhati-hati secara dalaman mahu pun tambahan pula kita, Sabah dan Malaysia, memiliki sumber asli yang banyak di daratan dan di lautan yang menjanjikan masa depan yang gemilang untuk diterokai dan dimajukan. Bagaimana pun sejak Pilihanraya Umum lalu lanskap politik kita sudah banyak berubah. Sebagai rakyat kita kena berwaspada terhadap pihak yang menjanjikan bulan dan bintang. Yang memfitnah tanpa fakta. Penuh dendam yang menjijikkan. Yang memaki-hamun di luar peradaban manusia dan ugama. Yang sanggup bersekongkol dengan kuasa luar hanya untuk merebut kuasa. Orang luar tidak pernah ikhlas menolong kecuali ada yang dimau mereka. Iraq diperangi habis-habisan bukan kerana ia ada senjata pemusnah luar biasa tetapi kerana minyaknya. Iran sekarang diboikot dan diancam juga kerana kekayaannya. Demikian juga Barat bukan saja melindungi Israel kerana ia ciptaan haram negara-negara maju tetapi kerana mahu mengawal sumber minyak di Timur Tengah. Hakikatnya UMNO dan rakan-rakan kongsinya dalam Barisan Nasional mempunyai rekod kejayaan ekonomi yang cemerlang dan penyediaan perkhidmatan sosial yang adil dan saksama untuk semudah itu ditumbangkan oleh pembangkang. Penentu sebenar pada PRU 13 ini adalah rakyat yang layak mengundi. Hati-hati mendengar janji mereka yang berfondasikan pasir yang jerlus. Kata-kata hikmah ini ada baiknya kita pegang bersama, ‘APABILA SESEORANG DATANG KEPADA KAMU MEMBAWA BERITA, SELIDIKLAH DULU KESAHIHANNYA,’ dan jangan juga kita jadi orang, ‘ YANG DIKEJAR TAK DAPAT, YANG DIKENDONG BERCICIRAN’.